Saturday, July 13, 2013

Tak Bertuan


            Kereta jenama Mitsubishi Lancer berwarna merah elok terparkir di garaj rumah. Kelihatan seorang gadis bertubuh genit melangkah keluar disertai senyuman. Walaupun penat bekerja seharian tapi senyumannya tak perah lekang dari bibir.
“Assalamualaikum”. Dipandangnya keseluruhan rumah seperti mencari sesuatu.
“Mak, kenapa duduk sorang-sorang dekat situ?”tanya Zana kehairanan bila melihat emaknya duduk berpeluk tubuh disuatu sudut dalam keadaan yang gelap tanpa diterangi cahaya lampu walhal hari sudah masuk maghrib. Dia bingung dengan keadaan emaknya, bila ditegur emaknya hanya berdiam dengan wajah yang muram. Pada mulanya Zana tidak merasa hairan dengan keadaan emaknya itu tapi lama-kelamaan kesihatan dan keadaan emaknya semakin teruk. Emaknya sering mengadu sakit belakang yang teramat sangat sampai tak boleh tidur. Emaknya juga mengadu sering merasa terganggu.
            Zana yang sedih melihat keadaan emaknya itu pun berikhtiar untuk kesembuhan emaknya. Jadi, selepas pulang dari kerja, pada malamnya Zana pun membawa emaknya ke Darus Shifa. Sebanyak dua kali dia membawa emaknya tapi keadaan tetap sama. Lalu makciknya mencadangkan agar emak Zana pergi berurut di rumah kakak iparnya, Mak Yong. Selain pandai berurut, Mak Yong juga boleh merasa kehadiran mahluk halus pada pesakit yang diurutnya.  “Maaaak..dah siap?”soal Zana selepas siap mengenakan tudung sarung. Dia melihat emaknya seakan lemah tak semangat, tidak berdaya untuk melakukan kerja. “Sudah Zana.” Mereka pun berangkat ke rumah Mak Yong yang terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa sejam untuk sampai ke sana. Sesampainya di rumah Mak Yong, kedatangan mereka disambut baik. Zana menonton televisyen sambil menunggu emaknya berurut. Dari luar bilik kedengaran suara orang sendawa mengeluarkan angin dengan kuat, seperti hendak muntah. Setelah setengah jam berurut, emaknya pun keluar.
“Kuatnya mak sendawa tadi?”tanya Zana mahukan kepastian.
“Bukan mak, tapi Mak Yong yang sendawa. Mak Yong suruh datang minggu depan Khamis malam Jumaat sebab nak mandi bunga.”
“Kuat sangatkan mak. Oh, okey. Zana pun nak mandi sekali boleh mak?”
“Boleh je.”
Zana pun meneruskan pemanduan dan mereka tidak berkata apa-apa selepas itu, hanya dendangan lagu yang berkumandang di radio sahaja yang menjadi halwa telinga mereka.
            Dua hari selepas itu ketika hendak masuk tidur, Zana merasakan seperti ada sesuatu yang melintasi dibelakangnya. Bila dia menoleh kebelakang, hanya ada tuala yang bergantung. Lalu, lampu dipadam. Seperti biasa dia akan memakai stokin sebagai pelengkap sebelum dia lena dibuai mimpi. Sejak dari tingkatan satu lagi dia belajar memakai stokin ketika tidur kerana waktu di asrama, terdapat kejadian orang minyak dan pelajar kerasukan. Jadi pemakaian stokin bagi mengelakkan daripada mahluk halus masuk ke dalam badan kita melalui ibu jari. Katil Zana berhadapan dengan tingkap, jadi dia boleh nampak bayang-banyang pokok yang berada diluar rumah. Jika saudara mara datang tidur di biliknya, pasti mereka akan takut bila terjaga waktu malam kerana akan tenampak bayang-bayang seperti ada orang diluar rumah. Tapi ianya hanya perkara biasa buat Zana kerana dia sudah lali dengan semua itu.
            Namun, ketika suasana menjadi sunyi dek hilang dengan suara deruman kereta yang lalu-lalang atas jalan raya dihadapan rumahnya, bayang-bayang pokok yang tadinya beralun lembut tiba-tiba bergoyang dengan kuatnya seperti ditiup ribut. Tak sampai beberapa saat hujan pun turun selebat-lebatnya. Sejuk malam itu lain sekali rasanya. Tiba-tiba jantungnya berdegup laju seperti orang dikejar kuda. Bulu romanya menegak tinggi.Saat itu dia dapat merasakan kehadiran makhluk lain di kamarnya. Dapat merasa kehadiran makhluk lain merupakan anugerah dari Allah dan dia bersyukur. Jantungnya akan berdegup laju dan seperti tidak sedap hati tatkala terdapat makhluk lain berdekatan dengannya. Semakin dekat makhluk itu, semakin kuat degupan jantungnya sehinggakan nada suara dia menjadi serak dan hilang. Pada mulanya dia tidak faham dengan apa yang dia alami, tetapi semakin lama dia mula perasan yang perasaan itu sebenarnya menandakan ada makhluk lain yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar berdekatan dengannya. Cuma dia tidak pasti dari jarak sejauh mana dia dapat merasa kehadiran mereka.
            Dia tahu makhluk itu berdekatan tapi dia buat tidak endah. Cuma yang mengganggu Zana adalah perasaannya yang tidak tenang dan membuatkan dia seperti mahu menjerit dengan apa yang sedang dirasakan. Tetapi tatkala Zana keluar dari kamarnya, dia tidak pula dapat merasakan kehadiran mereka, bila masuk balik jantung automatik akan berdegup laju. Zana membaca doa-doa pendinding dan hanya membiarkan bacaan surah al-Mulk berkumandang di telefon bimbitnya sehinggalah dia terlelap sampai ke subuh. Begitulah keadaan dirinya setiap hari yang selalu merasakan kehadiran makhluk itu. Tapi dia langsung tidak menceritakan hal yang berlaku kepada emaknya kerana dia tidak mahu emaknya berasa takut jika dia memberitahu bahawa rumahnya ada penghuni lain.
            Seminggu sudah berlalu dan tibalah masanya untuk mereka pergi ke rumah Mak Yong bagi sesi mandi bunga. Sebelum mandi, Mak Yong akan mengurut dulu pesakitnya.
“Kamu boleh nampak ke?”tiba-tiba Mak Yong menanyakan persoalan sebegitu kepada Zana selepas mengurutnya.
“Buat masa ni tak nampak tapi kalau rasa selalu la.”Zana yang terkejut dengan pertanyaan Mak Yong yang seakan mengetahui bahawa dirinya boleh merasa kehadiaran makhluk lain segera menjawab tanpa susun kata. Selesai mandi bunga, mereka pun pulang ke rumah. Hari kelihatan gelap dan semakin sunyi. Dalam perjalanan pulang, dia mula diganggu. Lintasan ada dimana-mana dan ayat-ayat suci menjadi pilihannya yang utama sebagai pendinding diri. Malam itu mereka pulang dengan selamatnya. Mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Keadaan emaknya pulih hanya untuk beberapa minggu dan kembali murung seperti dulu. Namun, kemurungan yang dihadapi emaknya bukanlah setiap masa, ada masa-masanya emaknya akan menjadi terlalu murung dan tidak bersemangat. Kadang-kadang emaknya berkelakuan seperti orang yang tidak normal. Emaknya menghadapi tekanan perasaan yang amat sangat dengan apa yang sedang terjadi. Emaknya sering diganggu lintasan dimana-mana. Malamnya pula emaknya hanya dapat tidur sejam dua dan selebihnya emaknya hanya melelapkan mata kerana diganggu dengan berbagai-bagai perkara.
            Sebulan selepas itu, makcik Zana datang melawat mereka di rumah. Makciknya memberitahu bahawa Mak Yong mengatakan di kampungnya terdapat orang yang “membela” dan emaknya terkena teguran kerana emaknya lemah semangat. Sekali lagi Zana pergi ke Darus Shifa, kali ini Ustaz menyarankan mereka mendengar ayat-ayat Ruqyah sebagai pendinding. Saranan Ustaz itu diterima dan setiap hari ayat-ayat Ruqyah akan berkumandang bila dia hendak melelapkan mata. Akhir-akhir ini Zana sering bermimpi buruk yang membuatkan jantungnya sering berdegup laju. Sedang Zana khayal menonton televisyen, dia teringat akan kawan sekolahnya yang juga merupakan jiran sekampung dengannya yang sudah berpindah ke tempat lain kerana keluarganya diganggu makhluk halus. Dengan pantas dia mencapai telefon bimbitnya dan membuat panggilan.
“Assalamualaikum Min, Zana ni.”
“Oh Zana, kenapa telefon Min?”
“Zana nak tanya la, dulu kan keluarga Min kene ganggu. Min tahu tak apa puncanya?”tanya Zana beria.
Min yang kehairanan hanya menjawab, “ Oh benda tu, puncanya sebab ada benda merayap yang mencari tuan baru sebab tuan lamanya sudah tiada. Benda tu tak bertuan jadi dia merayau-rayau mencari tuan yang sesuai sambil menggangu orang kampung. Kenapa Zana?”
“Mak Zana kene ganggu, tu yang Zana tanya Min sebab keluarga Min pun pernah mengalami perkara yang sama kan.”
“Macam tu rupanya, susah kalau macam tu. Sebab tu Min dan keluarga berpindah.”
“Terima kasih ye Min atas maklumatnya.”
“Sama-sama.” panggilan meraka pun tamat. Barulah Zana lega selepas mengetahui punca sebenar.
            Lama dia berfikir untuk mencari ikhtiar lain merawat emaknya dan pada suatu hari, “Mak, Zana dah fikir. Kita pindah ke bandar nak tak mak? Zana sedih tengok keadaan mak lama-lama macam ni. Boleh ye mak.”rayu Zana agar emaknya faham.
“Baiklah Zana, emak ikut kamu sahaja. Apa yang kamu rasa baik, mak ikutkan.”
“Alhamdulillah, terima kasih mak”. Dua minggu kemudian Zana dan emaknya pun keluar dari kampung tu. Ditingglkannya rumah pusaka itu dengan pengharapan akan ada sinar baru dalam hidup mereka berdua. Mereka mahu memulakan hidup baru di bandar nanti. Zana pula diterima kerja di sebuah syarikat pengiklanan sebagai setiausaha. Emaknya kelihatan semakin sihat dan pulih sehinggakan dapat melakukan kerja seharian seperti dahulu. Mereka hidup tenang dan bahagia. Alhamdulillah mereka tidak lagi diganggu. Sedang dia leka melihat bunga yang kembang mekar dihalaman rumahnya tiba-tiba dia terdetik “Macam mana keadaan orang kampung? Adakah mereka juga diganggu? Adakah benda itu akan terus tidak bertuan, tapi siapakah pemilik sebenar benda yang tidak bertuan itu.” Perkara itu terus menjadi suatu misteri.
TAMAT.

4 comments:

Sila beri pandangan anda.
Bahasa jiwa bangsa.