Friday, December 20, 2013

Lain

Kita tak sama,
Kau dan aku berbeza,
Aku kata pada yang nyata
Kau kata pada rasa,
Aku bukan tiang atau bongkah batu yang tak punya rasa
Dan aku tak buta,
Masih mampu membeza erti sayang dengan banyak cara.

Allah...
Ada dengan aku,
Aku tahu...aku kuat kerana-Nya.
Kuat untuk terus menyampaikan apa yang perlu,
Biar aku dihina,
Aku tak mudah goyah dengan kata cerca,
Kuatku demi Agamaku
Pandulah aku Ya Allah.

Izinkan aku untuk terus menjadi khalifah yang sebenar di muka bumi pinjaman ini.

Friday, November 29, 2013

Wajah lama itu.

Ku renung gambar itu,
jelas wajahnya,
tetap sama,
anak yang dicium,
jelas kasih sayangnya,
dipeluk erat,
didukung,
dijaga penuh rapi,
sekilas pandang,
hidungnya sama,
mulut tak kurang juga,
mata pun seumpama bapanya.

Ku tatap dan terus tatap,
kasih sayang mereka,
bahagianya,
aku tersedar,
mereka satu keluarga.

Wajah yang dulunya selalu ku tatap,
kini sudah tiada makna,
namun aku tak mudah lupa,
doaku dari jauh,
semoga kau bahagia.

Wajahmu...

Tuesday, November 26, 2013

Kau dan aku.

Kau tanya aku
soalan itu,
kau tahu aku tak mampu,
lalu aku cuba menenangkan hatimu.

Jauh dicorong itu,
aku dengar tangis mu,
aku tahu,
kau lelah,
lemah,
aku juga,
tapi tak terluah,
semput ditengah.

Satu kau tak tahu,
aku sering kalah,
sebak aku tiap masa,
tak tentu tiba,
tak boleh jangka.

Salah kita,
masih muda,
tak matang persis usia,
lalu,
kita yang luka,
luka dengan apa yang kita cipta.

Nak undur masa,
aku tak mampu,
aku terus biar masa berlalu,
aku tunggu,
apa yang berlaku,
aku tahu,
tahu,
akan ada sesuatu,
indah untukkau dan aku.

Pagi itu,
pening ku hilang,
fikiranku menerawang,
kau--
kau ada dalam bayang-bayang,
hobi aku,
bila aku baca,
aku tahu,
kau sedang mencipta bahagia,
walau sepenuhnya lebih kepada kita.

Aku membawa diri,
walau duri mencucuk hati,
aku tahu,
kau tak mampu,
dua hati dalam satu waktu,
jadi aku,
biarkan aku,
walau aku luka,
biarkan,
aku cari masa,
rajukku kerana sayang.

Andai kau rindu berbicara,
berkongsi cerita,
aku ada,
kau tahu bukan?
aku kan jadi telinga,
aku kan bahu,
untuk kau --
sahabat....

Lelah

Setapak-tapak,
gagah kaki,
aku lemah,
kuat
tak macam yang dinampak,
goyah,
rapuh,
tak mudah.

Rintik-rintik hujan,
aku basah,
tenggelam dalam laut ciptaan,
aku cari laluan,
biar aku keluar,
udara yang baru,
biar nafas tak sesak,
sebab aku takut
aku lelah.

Monday, November 25, 2013

Hilang.

Biarkan aku menghilang,
Aku tak mahu jadi dalang,
Cukuplah--
Aku terlalu sayang.

Sebak--

Aku tahan...
sebak tiba-tiba.

Aku dendangkan...
Nak mengalir air mata.

Apa yang aku rasa,
Apa yang kau lihat tak sama.

Berlagak kuat,
Tapi sebenarnya lemah,
Tak berdaya,
Nak lawan kata.

Aku buta?
mungkin--

Cemburu.

Cemburu!!!
Bodohnya aku!
Aku gembira,
Tapi kadang jadi luka,
Perasaan kadang tak sama,
Mulut kata ya,
Hati tak nak terima.

Sampai bila?
Aku kena buang-- jauh
Biar kau tak datang lagi,
Biar aku tak ada hati.

Kau

Aku jumpa kau,
Aku rindu,
Kenangan dulu...

Kau kini sudah ada dia,
Aku gembira harap kau bahagia,
Tapi aku luka,
Luka dengan apa yang kau rasa,
Aku tahu kau cinta,
Tapi aku tak mahu dia terluka,
Aku tahu kau cuba,
Tapi aku dapat rasa kau tak kuat,
Kenangan tak mudah padam,
Tak hilang dari ingatan,

Mungkin sayang ini kan ada,
Lama,
susah nak hilang,
Kau pun sama,
Kau tak kata pun aku rasa.

Penaip.

Penaip tepi jalan,
mereka tak popular,
bukan nama mereka tempa,
tapi idea mereka cipta.

Orang tak pandang,
tak mengapa--
mereka tak pernah kisah
tak putus asa,
terus karya jadi cinta.

Kalau tanya kenapa--
mereka kata suka,
mereka cinta,
karya mereka,
jadi kenangan ubat luka.

Senang kau kata.

Orang,
mulut tak jaga,
main lepas kata hina,
sesuka hati je ingat mereka tak ada rasa?

Pandai yang bodoh dalam kata,
hati?
tak reti nak jaga,
ingat hati dia je yang ada?

Kau pandai,
Aku nak hormat?
Tapi kau kata...
macam cibai,
kau ni,
malukan mereka sahaja,
kau tak sedar!
fikir diri sempurna,
kau buat ape?
hati kering tak punya rasa.

Bodoh!
aku bukan tak suka,
tapi aku pun terasa!
kau je?!

Aku diam!!!
kau macam sepurna...
Ah! bodoh semua...
Aku je...

Puisi

Puisi bukan hanya kata kias yang penuh kasih sayang irama,
yang penuh dengan cinta tema ritma,
Puisi ayat yang terhasil,
hasil dari jiwa sang pencipta,
tak perlu syarat sampai ianya jadi tak sempurna.

Idea...hasil kita...
puisi banyak cara,
bukan mudah nak cipta,
jangan mudah nak kata,
sebab kau tak rasa,
kau tak pernah nak cuba,
kau hanya pandai kata.

Kau...cuba rasa,
buat macam mereka,
mampu?
nak cuba pun tak mahu,
apa lagi nak mereka.

Pengalaman.

Aku belajar erti rindu tatkala sunyi meneman hari,
Aku belajar erti menghargai tatkala kasih mula pergi,
Aku kan kasih.

Jauh perjalanan yang aku lalui,
Berliku, berlopak tak tentu,
Lubang yang kadang-kadang aku tak perasan,
Boleh jatuh aku nanti kalau aku tak berhati-hati.

Hati

Kau mungkin bisa melihat senyuman aku semanis gula,
tapi pernah kau rasa?
pernah kau tahu?
isi hati aku,
hati yang terbuku,
kaku,
tak tahu.

Terkadang aku layu,
layu dengan apa yang berlaku,
dan bakal berlaku.

Terkadang aku mahu,
tiba-tiba aku tak setuju,
aku keliru,
antara kau dan aku,
pastikah akan berlaku?
aku tak tahu.

Terkadang senyum ini ku wujudkan semoga dapat jadi penawar duka,
terkadang hati ini rapuh
dengan kata-kata,
cinta lama,
aku juga sama,
aku juga punya rasa,
terkadang rindukan cinta lama,
kenangan kita.

Senyum aku sembuh luka,
senyum aku tutup luka,
senyum aku simpan hati yang lara,
senyum aku penuh makna,
antara bahagia dan derita,
aku yang rasa,
aku tanggung semua.

Jangan mudah kau buat tanggapan,
yang bisa buat aku tak keruan.

Friday, October 18, 2013

Aku punya cita

Aku berdiri mendepani cabaran,
Jauh aku pandang kehadapan,
Tak kan aku mahu terus berada ditakuk lama,
Tak ku mahu terus mengais setiap hari,
Aku punya cita,
Akan ku kejar sehingga aku berjaya,
Ku gigihkan kudrat ini mengejar apa yang diimpi,
Aku tahu aku mampu dengan berkat Ilahi,
Semoga perjalanan ku ini sentiasa dirahmati.

Thursday, August 29, 2013

Unsur bunyi #2

Assalamualaikum. Hari ni kita sambung unsur bunyi yang lain pulak.

decip - bunyi unggas
decit - bunyi anak burung, ayam, tikus
decuh - bunyi air berkocak
decup - bunyi benda kecil yang padat jatuh ke air
decur - bunyi air memancar
decut - bunyi anak kecil menghisap botol
dedas - bunyi letusan yang kecil
dembam - bunyi buah nyiur jatuh
demberang - bunyi tembakan senapang (bedil)
dembun - bunyi benda berat jatuh (bunyi menepuk tilam)

Wednesday, August 28, 2013

Unsur bunyi dalam penulisan.

Assalamualaikum. Unsur bunyi dalam penulisan akan memberikan kesan kepada pembaca dan dapat memberi gambaran tentang peristiwa yang berlaku. Tanpa unsur bunyi penulisan terasa hambar. Disini saya akan kongsikan sedikit demi sedikit unsur bunyi yang boleh diselitkan didalam penulisan kita. 

debik - bunyi orang menepuk sesuatu
debing - bunyi gemdang (beduk)
debuk - bunyi orang meninju (menampar dengan kuat, barang jatuh ke tanah, pukulan)
debum - bunyi benda besar jatuh 
debup - bunyi barang besar atau berat jatuh
debur - bunyi barang besar jatuh ke air
debus - bunyi hembusan angin, burung mengibaskan kepaknya
debut - bunyi angin keluar dari ruang yang sempit
decap - bunyi orang mengecap makanan
decing - bunyi duit syiling dijatuhkan ke batu.

Tuesday, August 13, 2013

Kasih seorang abang.

Dulu aku sering bergaduh dengannya,
ketika itu aku masih dianggap kecil dari darjah hinggalah aku tingkatan lima 5,
apa yang aku buat pasti mendapat tentangan abang,
abang buat aku marah dengan keputusan dia,
pernah suatu hari aku menjadi terlalu benci pada abang,
abang juga sudah banyak kali memutuskan hubungan cinta aku,
tapi aku tak pernah melawan dan hanya ikut katanya.

Aku ingat lagi,
masa aku ditingkatan satu,
aku telah terlibat dalam kemalangan,
bila ibu bercerita bahawa abang mahu tumbuk dengan pesalah itu,
tatkala itu aku sedar yang abang sayangkan aku,
mungkin abang tak reti nak tunjuk sayangnya tapi aku dapat merasa.

Hari berganti hari,
kami semakin dewasa,
abang sudah tidak marah dengan apa yang aku lakukan,
hanya nasihat yang sering keluar dari bibirnya,
aku juga lihat abang dah banyak berubah ke arah lebih baik,
abang juga sudah tidak menbantah pilihan hati aku,
mungkin pada abang aku sudah besar dan sudah boleh membezakan baik dan buruk,
kini aku sudah mengerti akan apa yang pernah abang buat dulu,
semua yang abang buat bersebab dan ianya untuk kebaikan aku,
TERIMA KASIH ABANG.
adik abang kini sudah besar dan tak lama lagi bakal menjadi Zawjah.

Semalam aku terdengar kisah dari seseorang,
yang hidupnya adik beradik sering dipantau oleh abangnya,
sehinggalah mereka nak mendirikan rumah tangga,
mereka rasa tidak puas hati,
tatkala raya pasti mereka bermaafan,
tapi dendam masih disimpan terhadap abangnya itu,
aku sedih,
kenapa masih ada rasa tidak puas hati walaupun sudah lama bermaafan,
bukankah itu dipanggil dendam?
tidakkah mereka nampak apa yang abang buat adalah untuk kebaikan mereka semua?
kisah abang itu kan tetap dalam ingatan,
tulusnya kasih abang sukar untuk mengerti jika kita tak sedar kebaikan disebalik semua ini.



Monday, August 12, 2013

Jangan!!!

Sakit,
sakit hati tiada penawar kecuali pinta dari Ilahi,
sakit hati maaf dipohon,
memaafkan tanda ikatan suci,
tanda hati bersih,
tanda menginsafi walaupun kita sentiasa dilihat salah.

Ego, 
perlu direndahkan,
kerana bisa membahagiakan kedua insan bermasam muka,
jikalau dilambung tinggi ego nan dingin,
kelak membuat binasa pada diri,
kelak saudara hilang di bumi,
kelak nanti kita yang menyesali.

Maaf,
ucapkan walau tak memberi erti,
pintalah agar tiada sakit hati,
kerana nanti kelak menjadi benci,
dan terus menjadi dendam insani.

Kasih,
tak mungkin hilang,
darah yang mengalir sama,
tak mungkin kasih kan pudar dan terus padam,
air dicincang takkan putus,
kasih yang tersemat takkan terhapus dari hati.

Sunday, August 11, 2013

Saat tak lagi ada.


Saat ada di depan mata kau buta,
Saat dia di depan muka kau cuba memalingkan wajah,
Saat dia senyum kau mencuka,
Saat dia menghulur kau sombong,
Saat dia cuba dekat kau pula berlari,
Saat dia menyayangi kau merobek hati,
Saat dia memberi kau pula buang seperti sampah,
Saat di ada kau tak hargai
dan
Saat dia sudah dimiliki baru kau sedar dia pernah ada disisi.

Friday, August 2, 2013

Facebook

facebook,
tempat bertemu dua sahabat.
tempat kasih dimeterai,
tempat menjadi saksi cinta sang abadi,
tempat kita mula berbakti,
tempat benci menjadi-jadi,
tempat mencari populariti,
tempat tercipta identiti,
tempat kita mencaci peribadi,
tempat menayang diri,
tempat menjadi pemerhati,
tempat mengumpan kuli,
tempat meluahkan isi hati.

Rata-rata pandai bermain kata-kata,
mereka bijak dalam tingkah-meningkah,
walaupun terkadang mereka melatah,
hanya satu kata,
kawan jadi musuh selamanya,
benci jadi kasih termeterai,
nyawa jadi taruhan dan hidup dalam kepura-puraan.

facebook,
melalaikan atau lebih memberi kebaikan?
kita tak sama,
pendapat berbeza tapi kita punya rasa,
yang leka terus terleka,
yang ingat merasa gembira,
manfaatkan dan tinggalkan jika ia menyusahkan.

Kita

Jangan tanya kenapa aku kejam terhadap kau,
dan jangan tanya kenapa semuanya berakhir sebegini rupa.

Kau yang meminta dan aku memberi apa yang kau rasa.

Biarlah kau membenci seumur hidupmu,
tapi aku tak mahu hatinya tersakiti
kerna aku tahu bagaimana sakitnya terluka.

Bukan aku tak sayang
bukan aku tak kasih
tapi kerana terlampau kasihlah aku sering kecewa.

Selepas ini status dah berbeza,
dan aku tak mungkin punya rasa yang sama,
rasa masa kita bercinta dulu kala
kerana kini aku bakal punyai sidia
yang bakal menjadi iman buat diriku selamanya

Memang dia berbeza,
walau dia tak romantik saat kami jumpa,
tapi dia seorang yang setia,
walau dia kekok bila berbicara,
tapi dia berpegang pada agama.

Aku tahu dialah orangnya,
orang yang selama ini aku damba,
semoga kasih kami kekal selamanya.

Monday, July 29, 2013

Suatu Cerita

Cinta kita akan kekal dalam kenangan
kerna aku tak mahu ada pengharapan
dimana akhirnya akan ada kekecewaan
yang membuatkan kita saling bermusuhan.

Cerita dulu,
akan terus menjadi kisah silam,
suka duka, tawa ria
yang terselit dilipatan rahsia,
mendatangkan sedikit derita
derita menanggung rindu tak terucap
derita kerana sayang masih ada
biarpun kini aku tak lagi sepi
bertemankan dirinya setiap hari
cuma aku mahu dikau mengerti
suatu rasa yang pernah aku beri dahulu
bukan sekadar suka-suka.

Cerita kini,
sudah berbeza,
banyak jalan cerita,
sudah mempunyai banyak warna,
yang pastinya ia dah tak sama,
cerita dulu biarlahmenjadi satu tanda
dan rahsia antara kita berdua.

Hasil nukilan,

Tuesday, July 23, 2013

Tangis si anak kecil

Masih ku ingat tangisan itu,
Si anak kecil yang seakan mengerti
Apa yang sedang terjadi.

Ratapannya hari ini
dibelai dengan penuh kasih sayang
serta simpati yang datang,
Esok lusa,
dia akan menangis kesunyian
tanpa hirauan teman.

Tangisnya itu,
pada siapa dia mahu mengadu,
andai mereka bersikap tak ambil tahu,
dan akhirnya dia mengasingkan diri dibilik terkunci
tanpa harapan namun terselit angan-angan.

Tangisnya semalam
dia tetap melangkah demi satu cita,
direnangi lautan api biarpun membakar diri,
diredah onak duri biar meskipun dia tahu dia kan terluka.

Tawanya kini adalah tangis semalam,
yang mengajar dia erti kehidupan,
ramai yang datang dalam hidup,
tak kurang juga yang sekadar membuang sisa,
tapi tak ramai yang kekal bersama,
pengalaman banyak mendewasakan,
biarpun dia masih menangis sendirian.

Hasil nukilan,

Tuesday, July 16, 2013

Dahulu,
Bisa adalah duka bersama,
Tawa pula adalah pengubatnya,
Kasih sayang bertaut menguatkan ukhwah yang terbina,

Dahulu,
Kita bagaikan satu,
Kau terluka kami berdarah,
Kau tersenyum kami bahagia,
Mengaharungi kehidupan bersama,
Walaupun dulu kita pernah dibenci,
Namun kita tidak pernah goyah.

Kini,
Kita bagaikan orang asing yang terjumpa sekadar dipinggiran,
Laluan kini kian bercabang,
Entah, aku tak pasti kenapa madu yang kita kumpul dahulu kini rosak,
Baru sahaja aku mahu menyimpannya.

Kini,
Semuanya sudah berubah,
Bulan pun sudah bertukar wajah,
Kasih ini masih ada tapi ia semakin terhakis
dek kerana hipokrit yang kau punya,
Janji manis, tawa ria, suka duka semalam
adalah kenangan untuk aku simpan selamanya,
entah untuk kenangan apa,
Tapi biarlah ianya hilang ditiup angin,
kerana pedih bila diingat kembali.

hasil nukilan,
-Adilah Mohd Asari @ AMA-

Saturday, July 13, 2013

Tak Bertuan


            Kereta jenama Mitsubishi Lancer berwarna merah elok terparkir di garaj rumah. Kelihatan seorang gadis bertubuh genit melangkah keluar disertai senyuman. Walaupun penat bekerja seharian tapi senyumannya tak perah lekang dari bibir.
“Assalamualaikum”. Dipandangnya keseluruhan rumah seperti mencari sesuatu.
“Mak, kenapa duduk sorang-sorang dekat situ?”tanya Zana kehairanan bila melihat emaknya duduk berpeluk tubuh disuatu sudut dalam keadaan yang gelap tanpa diterangi cahaya lampu walhal hari sudah masuk maghrib. Dia bingung dengan keadaan emaknya, bila ditegur emaknya hanya berdiam dengan wajah yang muram. Pada mulanya Zana tidak merasa hairan dengan keadaan emaknya itu tapi lama-kelamaan kesihatan dan keadaan emaknya semakin teruk. Emaknya sering mengadu sakit belakang yang teramat sangat sampai tak boleh tidur. Emaknya juga mengadu sering merasa terganggu.
            Zana yang sedih melihat keadaan emaknya itu pun berikhtiar untuk kesembuhan emaknya. Jadi, selepas pulang dari kerja, pada malamnya Zana pun membawa emaknya ke Darus Shifa. Sebanyak dua kali dia membawa emaknya tapi keadaan tetap sama. Lalu makciknya mencadangkan agar emak Zana pergi berurut di rumah kakak iparnya, Mak Yong. Selain pandai berurut, Mak Yong juga boleh merasa kehadiran mahluk halus pada pesakit yang diurutnya.  “Maaaak..dah siap?”soal Zana selepas siap mengenakan tudung sarung. Dia melihat emaknya seakan lemah tak semangat, tidak berdaya untuk melakukan kerja. “Sudah Zana.” Mereka pun berangkat ke rumah Mak Yong yang terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa sejam untuk sampai ke sana. Sesampainya di rumah Mak Yong, kedatangan mereka disambut baik. Zana menonton televisyen sambil menunggu emaknya berurut. Dari luar bilik kedengaran suara orang sendawa mengeluarkan angin dengan kuat, seperti hendak muntah. Setelah setengah jam berurut, emaknya pun keluar.
“Kuatnya mak sendawa tadi?”tanya Zana mahukan kepastian.
“Bukan mak, tapi Mak Yong yang sendawa. Mak Yong suruh datang minggu depan Khamis malam Jumaat sebab nak mandi bunga.”
“Kuat sangatkan mak. Oh, okey. Zana pun nak mandi sekali boleh mak?”
“Boleh je.”
Zana pun meneruskan pemanduan dan mereka tidak berkata apa-apa selepas itu, hanya dendangan lagu yang berkumandang di radio sahaja yang menjadi halwa telinga mereka.
            Dua hari selepas itu ketika hendak masuk tidur, Zana merasakan seperti ada sesuatu yang melintasi dibelakangnya. Bila dia menoleh kebelakang, hanya ada tuala yang bergantung. Lalu, lampu dipadam. Seperti biasa dia akan memakai stokin sebagai pelengkap sebelum dia lena dibuai mimpi. Sejak dari tingkatan satu lagi dia belajar memakai stokin ketika tidur kerana waktu di asrama, terdapat kejadian orang minyak dan pelajar kerasukan. Jadi pemakaian stokin bagi mengelakkan daripada mahluk halus masuk ke dalam badan kita melalui ibu jari. Katil Zana berhadapan dengan tingkap, jadi dia boleh nampak bayang-banyang pokok yang berada diluar rumah. Jika saudara mara datang tidur di biliknya, pasti mereka akan takut bila terjaga waktu malam kerana akan tenampak bayang-bayang seperti ada orang diluar rumah. Tapi ianya hanya perkara biasa buat Zana kerana dia sudah lali dengan semua itu.
            Namun, ketika suasana menjadi sunyi dek hilang dengan suara deruman kereta yang lalu-lalang atas jalan raya dihadapan rumahnya, bayang-bayang pokok yang tadinya beralun lembut tiba-tiba bergoyang dengan kuatnya seperti ditiup ribut. Tak sampai beberapa saat hujan pun turun selebat-lebatnya. Sejuk malam itu lain sekali rasanya. Tiba-tiba jantungnya berdegup laju seperti orang dikejar kuda. Bulu romanya menegak tinggi.Saat itu dia dapat merasakan kehadiran makhluk lain di kamarnya. Dapat merasa kehadiran makhluk lain merupakan anugerah dari Allah dan dia bersyukur. Jantungnya akan berdegup laju dan seperti tidak sedap hati tatkala terdapat makhluk lain berdekatan dengannya. Semakin dekat makhluk itu, semakin kuat degupan jantungnya sehinggakan nada suara dia menjadi serak dan hilang. Pada mulanya dia tidak faham dengan apa yang dia alami, tetapi semakin lama dia mula perasan yang perasaan itu sebenarnya menandakan ada makhluk lain yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar berdekatan dengannya. Cuma dia tidak pasti dari jarak sejauh mana dia dapat merasa kehadiran mereka.
            Dia tahu makhluk itu berdekatan tapi dia buat tidak endah. Cuma yang mengganggu Zana adalah perasaannya yang tidak tenang dan membuatkan dia seperti mahu menjerit dengan apa yang sedang dirasakan. Tetapi tatkala Zana keluar dari kamarnya, dia tidak pula dapat merasakan kehadiran mereka, bila masuk balik jantung automatik akan berdegup laju. Zana membaca doa-doa pendinding dan hanya membiarkan bacaan surah al-Mulk berkumandang di telefon bimbitnya sehinggalah dia terlelap sampai ke subuh. Begitulah keadaan dirinya setiap hari yang selalu merasakan kehadiran makhluk itu. Tapi dia langsung tidak menceritakan hal yang berlaku kepada emaknya kerana dia tidak mahu emaknya berasa takut jika dia memberitahu bahawa rumahnya ada penghuni lain.
            Seminggu sudah berlalu dan tibalah masanya untuk mereka pergi ke rumah Mak Yong bagi sesi mandi bunga. Sebelum mandi, Mak Yong akan mengurut dulu pesakitnya.
“Kamu boleh nampak ke?”tiba-tiba Mak Yong menanyakan persoalan sebegitu kepada Zana selepas mengurutnya.
“Buat masa ni tak nampak tapi kalau rasa selalu la.”Zana yang terkejut dengan pertanyaan Mak Yong yang seakan mengetahui bahawa dirinya boleh merasa kehadiaran makhluk lain segera menjawab tanpa susun kata. Selesai mandi bunga, mereka pun pulang ke rumah. Hari kelihatan gelap dan semakin sunyi. Dalam perjalanan pulang, dia mula diganggu. Lintasan ada dimana-mana dan ayat-ayat suci menjadi pilihannya yang utama sebagai pendinding diri. Malam itu mereka pulang dengan selamatnya. Mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Keadaan emaknya pulih hanya untuk beberapa minggu dan kembali murung seperti dulu. Namun, kemurungan yang dihadapi emaknya bukanlah setiap masa, ada masa-masanya emaknya akan menjadi terlalu murung dan tidak bersemangat. Kadang-kadang emaknya berkelakuan seperti orang yang tidak normal. Emaknya menghadapi tekanan perasaan yang amat sangat dengan apa yang sedang terjadi. Emaknya sering diganggu lintasan dimana-mana. Malamnya pula emaknya hanya dapat tidur sejam dua dan selebihnya emaknya hanya melelapkan mata kerana diganggu dengan berbagai-bagai perkara.
            Sebulan selepas itu, makcik Zana datang melawat mereka di rumah. Makciknya memberitahu bahawa Mak Yong mengatakan di kampungnya terdapat orang yang “membela” dan emaknya terkena teguran kerana emaknya lemah semangat. Sekali lagi Zana pergi ke Darus Shifa, kali ini Ustaz menyarankan mereka mendengar ayat-ayat Ruqyah sebagai pendinding. Saranan Ustaz itu diterima dan setiap hari ayat-ayat Ruqyah akan berkumandang bila dia hendak melelapkan mata. Akhir-akhir ini Zana sering bermimpi buruk yang membuatkan jantungnya sering berdegup laju. Sedang Zana khayal menonton televisyen, dia teringat akan kawan sekolahnya yang juga merupakan jiran sekampung dengannya yang sudah berpindah ke tempat lain kerana keluarganya diganggu makhluk halus. Dengan pantas dia mencapai telefon bimbitnya dan membuat panggilan.
“Assalamualaikum Min, Zana ni.”
“Oh Zana, kenapa telefon Min?”
“Zana nak tanya la, dulu kan keluarga Min kene ganggu. Min tahu tak apa puncanya?”tanya Zana beria.
Min yang kehairanan hanya menjawab, “ Oh benda tu, puncanya sebab ada benda merayap yang mencari tuan baru sebab tuan lamanya sudah tiada. Benda tu tak bertuan jadi dia merayau-rayau mencari tuan yang sesuai sambil menggangu orang kampung. Kenapa Zana?”
“Mak Zana kene ganggu, tu yang Zana tanya Min sebab keluarga Min pun pernah mengalami perkara yang sama kan.”
“Macam tu rupanya, susah kalau macam tu. Sebab tu Min dan keluarga berpindah.”
“Terima kasih ye Min atas maklumatnya.”
“Sama-sama.” panggilan meraka pun tamat. Barulah Zana lega selepas mengetahui punca sebenar.
            Lama dia berfikir untuk mencari ikhtiar lain merawat emaknya dan pada suatu hari, “Mak, Zana dah fikir. Kita pindah ke bandar nak tak mak? Zana sedih tengok keadaan mak lama-lama macam ni. Boleh ye mak.”rayu Zana agar emaknya faham.
“Baiklah Zana, emak ikut kamu sahaja. Apa yang kamu rasa baik, mak ikutkan.”
“Alhamdulillah, terima kasih mak”. Dua minggu kemudian Zana dan emaknya pun keluar dari kampung tu. Ditingglkannya rumah pusaka itu dengan pengharapan akan ada sinar baru dalam hidup mereka berdua. Mereka mahu memulakan hidup baru di bandar nanti. Zana pula diterima kerja di sebuah syarikat pengiklanan sebagai setiausaha. Emaknya kelihatan semakin sihat dan pulih sehinggakan dapat melakukan kerja seharian seperti dahulu. Mereka hidup tenang dan bahagia. Alhamdulillah mereka tidak lagi diganggu. Sedang dia leka melihat bunga yang kembang mekar dihalaman rumahnya tiba-tiba dia terdetik “Macam mana keadaan orang kampung? Adakah mereka juga diganggu? Adakah benda itu akan terus tidak bertuan, tapi siapakah pemilik sebenar benda yang tidak bertuan itu.” Perkara itu terus menjadi suatu misteri.
TAMAT.

Monday, July 8, 2013

Pengenalan

Assalamualaikum kepada semua yang membaca..
Sebagaimana yang semua tahu, Yaya telah pun mempunyai blog yang diberi nama Celoteh Cik Yaya.
dan blog baru ini hanyalah untuk simpanan semua penghasilan karya Yaya..
bila difikirkan..terasa bercampur baur pulak bila Yaya nak kongsi karya dengan blog CCY sebab di CCY, Yaya lebih more open nak story mory kisah diri..dan the better ways to seperate karya and blog yang seakan diari tu, I decide to create new blog..
tapi blog ni bukanlah baru sahaja dibuat..jangan salah faham, blog ni sudah di create sejak pertengahan bulan April 2013 lagi..cuma baru sahaja dipublish..segala yang pernah dientrikan disini sebelum ini akan kekal menjadi draft..
Jangan salah faham pulak ya..jangan fikir Yaya meniru sesiapa okey ^_^.. mungkin ianya hanya kebetulan..
menulis dapat menenangkan fikiran..dengan menulis kita dapat satu kepuasan..jadi Yaya cuba mencari satu ruang hanya untuk hasil dari sentuhan idea yang selalu muncul secara tiba-tiba.
jadi Yaya harap semua dapat menerima dengan kehadiran blog baru Yaya ni..

terkadang ada sesuatu yang kita tak perlu beritahu semua..
biarlah ia terus menjadi rahsia kita..